Tuesday, November 24, 2009

Erti Pengorbanan

Berkorban.

Ayat yang mudah diungkapkan, namun tidak semudah untuk melaksanakan.

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia akan berkumpul di kota Mekah bagi menyambut kedatangan hari kebesaran Islam, iaitu Hari Raya Aidiladha.

Pada tahun ini ada dua Khutbah, iaitu Khutbah sembahyang Raya Aidiladha dan sembahyang Jumaat selain kewajiban utama Islam bagi yang berkemampuan, menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk di korbankan dan disedekahkan pada golongan yang lemah yang kurang berkemampuan.

Sejarah Hari Raya Aidiladha bermula dari kisah Nabi Ibrahim yang membuatkan kita umat Islam kagum dan terharu mengenai pengorbanannya. Bukan harta benda, tetapi kasih kepada anaknya yang di anggap seperti nyawanya sendiri perlu di korbankan untuk yang maha Esa.

Semasa beliau mendapat perintah oleh Allah s.w.t untuk menyembelih putera kesayangannya Ismail. Betapa sedihnya hati seorang ayah, yang puluhan tahun berdoa agar di kurniakan anak, dan doanya di makbulkan dalam usia yang lanjut hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar maka lahirlah Ismail (Ismail juga seorang Nabi) namun Ismail perlu dikorbankan di tangannya sendiri bagi mengikut perintah Allah.

Tersangatlah sayang Nabi Ibrahim terhadap anaknya. Selepas mendapat mimpi dan di dalam mimpi itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ibrahim berkata pada anaknya. "Wahai anakku, aku melihat dalam tidurku bahawa aku mengorbankan kamu, renungkanlah, apakah pandangan kamu?"

Dengan tenang Ismail meyakinkan ayahnya, "Wahai ayahku, buatlah apa yang kamu diperintahkan, ayah akan mendapati aku, jika Allah mengkehendaki, termasuk di kalangan orang-orang yang sabar."

Sifat yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu dijadikan iktibar.

Semakin sedih hati Nabi Ibrahim, namun atas perintah Allah, beliau tetap akan melaksanakan suruhanNya. Berkorban walaupun atas sesuatu yang paling dia sayangi dan cintai. Walaupun di katakan gila oleh golongan-golongan yang membenci Nabi Ibrahim ketika itu.

Ikhlas melaksanakan perintah korban, Ismail juga dengan sabar menerima ketentuan itu dan Siti Hajar sang isteri tercinta juga rela dengan keputusan Allah hingga dia berjaya menepis hasutan syaitan yang berusaha menggodanya.

Dalam suasana yang penuh kesedihan itu, Nabi Ibrahim mencium dahi anaknya sambil bersedia untuk menyembelih Ismail di pangkuannya. Pada saat itu, dengan kuasa Allah leher nabi Ismail bertukar menjadi kibas (kambing biri-biri hitam). Betapa bersyukurnya hati Nabi Ibrahim bahawa Allah ingin menguji keimanannya sama ada Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan harta yang paling di sayanginya, dan sesungguhnya, segala apa yang ada pada kita bukanlah milik kita, tapi hak Allah semata.

Seterusnya banyak pemimpin Islam yang terus berkorban, Para Nabi, Sahabat-sahabat, pemimpin-pemimpin Islam yang mengorbankan harta, tenaga malahan darah bagi menegakkan Syiar Islam.

Betapa susah payahnya mereka dan Alhamdulillah agama Islam mempunyai penganut yang teramai di dunia walaupun pada hakikatnya umat Islam yang teramai ini kebanyakkan mereka tertindas, dan ketinggalan dengan orang bukan beragama Islam.

Fakta yang menyedihkan dan ini bukanlah salah sesiapa, perlulah menunding pada diri sendiri bagi mencari kelemahan dan kesilapan kita sendiri.

Hari Raya Korban ini mengingatkan kita sekiranya kita inginkan sesuatu, pengorbanan adalah satu perkara yang tidak dapat di elakkan. Untuk mengingatkan kita pada yang susah dan tidak berupaya, maka bagi yang berkemampuan, perlulah mengorbankan sedikit harta untuk yang kurang upaya ini bagi menunjukkan rasa syukur pada yang Esa.

Kisah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail, merupakan pengorbanan yang tidak terhingga dan menjadi kisah tauladan pada umat Islam kini. Kesanggupan mereka menurut perintah Allah adalah sifat terpuji dan banyak kisah-kisah nabi yang lain tidak kesemua mereka mempunyai keluarga yang bersatu hati dalam menegakkan agama Allah.

Sesungguhnya apa yang di miliki hari ini sementara sahaja.

Tidak ada yang sempurna dan kekal.

Selamat Hari Raya Aidiladha

1 comments:

danisha cutees said...

selamat hari raya aidiladha:)